Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini masuk dapur untuk masak hidangan makan tengah hari merangkap malam. Kelmarin Encik Suami beli sayur pucuk paku. Bolehlah dibuat kerabu tambah kerang dan juga taugeh. Kebetulan sewaktu di Tawau sempat beli isi kerang di BATARAS. Amie olah kerabu ikut gaya Bonda. Biasanya Bonda akan panggang kelapa yang masih di dalam tempurung sampai terbit aroma. Kemudian Bonda akan parut. Tumbukkan cili kering, tambah bawang putih, bawang merah dan belacan bakar. Amie tak dapatlah panggang kelapa sebab Encik Suami sudah beli kelapa parut. Hendak sangai dan tumbuk, alu pula patah. Amie yang patahkan sewaktu ketuk kepingan ais batu! Sampai hari ini belum sempat beli alu baharu. Kenalah beli dengan lesungnya sekali.
Jadinya, buatlah kerabu pucuk paku dengan apa yang ada sahaja. Kelapa parut tak bersangai. Ah, pedulilah situ. Yang penting siap. Bahan-bahan lain seperti cili kering, belacan, bawang putih dan bawang merah yang sudah digoreng masuk pengisar saja! Gaul dengan kelapa parut, tambah garam, gula, bahan perasa dan lengkapkan dengan perahan jus limau kasturi. Siap!
Hidangan Tengah Hari / Malam |
Ikan Sultan |
Sempat rembat dua ekor ikan sultan di BATARAS. Lengkuas dan serai itu beli di Pasar Tanjung, Tawau. Cantik lengkuasnya. Masih muda dan lembut. Kalau rajin nanti bolehlah masak nasu likku - Ayam Masak Lengkuas. Tak fikir panjang, apabila ada lengkuas dan serai eloklah masak singgang. Kali ini masak singgang ikan air tawar iaitu ikan sultan.
Teringin hendak makan ikan singgang cecah budu dan tempoyak!
Ikan Tulai Goreng |
Jemput makan! Bismillah. |